Frequently Asked Questions (FAQ) Undergraduate

Soalan-soalan Lazim
Soalan : Apakah itu Kejuruteraan Kimia?
Jawapan : Kejuruteraan Kimia adalah salah satu disiplin kejuruteraan berkaitan dengan pemprosesan industri yang melibatkan pengubahan tenaga dan bahan kimia, biologi atau fizikal secara ekonomik kepada bentuk atau produk industri yang memberi manfaat kepada kita semua di samping mengelakkan kesan buruk kepada persekitaran, keselamatan atau sumber bahannya yang terhad.

Soalan : Apakah yang membezakan Kejuruteraan Kimia dengan Sains Kimia?
Jawapan : Kejuruteraan kimia berkait rapat dengan sains kimia di mana prinsip-prinsip kimia seperti prinsip tindakbalas kimia, termodinamik dan kinetik kimia sangat diperlukan di dalam Kejuruteraan Kimia. Walaubagaimanapun tidak seperti Sains Kimia atau Sains Tulen yang lain yang sangat memberatkan kefahaman dan kajian fundamental sains, Kejuruteraan Kimia lebih cenderung menggunakan pengetahuan prinsip kimia berserta dengan pengetahuan kejuruteraan yang lain seperti pemindahan tenaga, dinamik bendalir, kawalan dan keselamatan proses dan lain-lain lagi untuk merekabentuk peralatan dan loji serta kaedah operasinya secara selamat pada skala industri.

Soalan : Apakah yang membezakan kejuruteraan kimia dengan Kimia Gunaan atau Kimia Industri?
Jawapan : Kimia Gunaan dan Kimia Industri adalah cabang Sains Kimia yang paling hampir dengan bidang Kejuruteraan Kimia. Walaubagaimanapun terdapat penekanan kurikulum yang berbeza antara kimia gunaan/industri dan kejuruteraan kimia. Ini adalah kerana bidang kejuruteraan kimia adalah kursus profesional dan ianya tertakluk dan perlu mematuhi keperluan yang dinyatakan oleh Lembaga Jurutera Malaysia.

Soalan : Dimanakah graduan Kejuruteraan Kimia bekerja?
Jawapan : Graduan Kejuruteraan Kimia boleh bekerja di pelbagai sektor industri. Antara industri yang kebiasaannya menjadi pilihan graduan kejuruteraan kimia adalah seperti sektor minyak dan gas, sektor petrokimia, sektor kimia komoditi dan kimia konsumer, sektor bahan termaju, sektor bioteknologi, sektor perundingan, sektor penyelidikan dan pelbagai sektor lain.

Soalan : Apakah personaliti saya sesuai untuk bekerja sebagai seorang Jurutera Kimia?
Jawapan : Setiap graduan kejuruteraan kimia mempunyai peluang untuk mencari kerjaya yang menepati personaliti mereka kerana graduan kejuruteraan kimia boleh menceburi pelbagai bidang kerjaya, sama ada di lapangan, pejabat atau makmal dan juga bekerja secara individu atau berkumpulan sama ada yang melibatkan peralatan atau memerlukan masyarakat setempat.

Soalan Apakah prospek kerjaya seorang graduan kejuruteraan kimia?
Jawapan Prospek kerjaya graduan kejuruteraan kimia di Malaysia adalah cerah. Menurut Plan Transformasi Ekonomi Malaysia (ETP), menjelang 2020, Malaysia akan mencapai status negara maju dengan penekanan terhadap kemajuan di dalam sektor seperti sektor Minyak dan Gas (O&G), sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan lain-lain lagi.

Soalan Boleh ceritakan sejarah ringkas penubuhan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia di USM?
Jawapan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia telah ditubuhkan di Kampus Cawangan Perak USM pada tahun 1992 di bawah Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6). Pengambilan kelompok pelajar pra-siswazah kejuruteraan kimia pertama adalah sebanyak 43 orang pelajar. Pada tahun 2001, kesemua Pusat Pengajian Kejuruteraan di Kampus Cawangan Perak telah berpindah ke kampus baru di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Soalan Apakah keunikan program Pra-Siswazah Kejuruteraan Kimia di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM?
Jawapan Program Kejuruteraan Kimia di USM mempunyai kurikulum yang mantap dan menyeluruh termasuk pendedahan amali yang intensif. Dengan kemudahan makmal yang terkini dan canggih, pihak Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia berupaya melatih para pelajarnya dengan piawai industri. Program Kejuruteraan Kimia USM juga diiktiraf antara yang terbaik di Asia dan tersenarai di dalam senarai penarafan seperti QS Universities Subject Ranking. Sila rujuk laman web tersebut untuk maklumat lanjut http://www.topuniversities.com/subject-rankings

Soalan Adakah program Pra-Siswazah Kejuruteraan Kimia di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia?
Jawapan : Program Kejuruteraan Kimia di USM diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Negara (BEM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Program ini telah berjaya memperolehi Akreditasi Penuh untuk 5 tahun bagi graduan 2014 sehingga graduan 2018.

Soalan Bagaimana saya ingin memohon untuk memasuki program ini?
Jawapan Sila layari laman web berikut untuk maklumat lanjut yang terkini bagi memohon kemasukan program pra-siswazah di Pusat Pengajian ini: http://upu.mohe.gov.my/

Soalan Apakah syarat kemasukan ke dalam program pra-siswazah kejuruteraan kimia di USM?
Jawapan Syarat-syarat kemasukan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kejuruteraan Kimia adalah seperti berikut:
  • Memenuhi Syarat Am Universiti
Bagi Matrikulasi
  • Lulus matrikulasi/Asasi dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.33
  • Mendapat sekurang-kurangnya gred B+ (NGMP 3.33) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam mana-mana dua (2) matapelajaran berikut:
    • Biology
    • Physics/Engineering Physics
    • Chemistry/Engineering Chemistry
    • Mathematics/Engineering Mathematics
    • Fizik Kejuruteraan/Kimia Kejuruteraan
    • Pengajian Kejuruteraan Awam/ Kejuruteraan Mekanikal/Kejuruteraan Elektrik & Elektronik
  • Mendapat sekurang-kurang kepujian pada peringkat SPM dalam matapelajaran matematik
Bagi STPM
    • Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.33
    • Mendapat sekurang-kurangnya gred B+ (NGMP 3.33) pada peringkat STPM dalam matapelajaran berikut:
      • Pengajian Am
      • Mana-mana dua (2) matapelajaran berikut:
        • Biology
        • Physics
        • Chemistry
        • Mathematics T/ Further Mathematics T
    • Mendapat sekurang-kurang kepujian pada peringkat SPM dalam matapelajaran matematik

Bagi A-Level/IB/AUSMAT
    • Lulus Peperiksaan A-Level/IB/AUSMAT dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.33 atau setara
    • Mendapat sekurang-kurangnya gred B+ (NGMP 3.33) atau setara pada peringkat A-Level/IB/AUSMAT dalam matapelajaran berikut:
      • Mathematics
      • Biology/Physics/Chemistry
    • Mendapat sekurang-kurang kepujian pada peringkat SPM dalam matapelajaran matematik
Soalan Bolehkah lepasan diploma atau kelulusan lain memohon program pra-siswazah kejuruteraan kimia di USM?
Jawapan Maaf, hanya lulusan STPM, Matrikulasi dan A-Level/IB/AUSMAT sahaja yang layak memohon program pra-siswazah kejuruteraan kimia di USM.