Kejuruteraan Kimia Komited Melahirkan Graduan Bertaraf Dunia
12 September 2013- Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia terus mengorak langkah memperkasakan siswa-siswi Tahun Dua, Tiga dan Empatnya dengan memperkenalkan "Programme Objectives" (PEO) dan "Programme Outcomes" (PO) berdasarkan manual baru badan akreditasi, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), dalam usaha melahirkan graduan berdaya saing dan bertaraf dunia.
"PEO dan PO yang menjadi teras dalam 'Outcome Based Education' (OBE) mempunyai hubungan secara langsung dan amat sinonim dengan akreditasi. Atas sebab itulah, sama ada mahu atau tidak, setiap pelajar wajib menyedari, mengetahui, memahami dan menganjak paradigma dalam proses pengajaran-pembelajaran", ujur Profesor Azlina Harun@Kamaruddin, Dekan, PPK Kimia dalam merungkai objektif Bengkel OBE, petang semalam, 11 September 2013, di Dewan Kuliah 5, Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Kejuruteraan, USM.
Menurut beliau lagi, empat 'PEO' dan sebelas 'PO' yang baru telah dihasilkan oleh Pusat Pengajian berpandukan manual baru LJM bagi menggantikan 'PEO' dan 'PO' yang terdahulu dalam usaha Pusat Pengajian 'mengejar' dan 'meraih' pengiktirafan penuh, lima tahun, dari LJM yang panelnya dijangka akan mengadakan lawatan akreditasi ke Pusat Pengajian seawal bulan Mac tahun hadapan.
Empat 'PEO' yang telah dikenal pasti tersebut adalah tertumpu kepada menghasilkan graduan yang holistik dan berbakat daripada sudut keupayaan mendominasi ilmu dan kewibawaan dalam bidang kejuruteraan kimia itu sendiri, memiliki ciri-ciri kepimpinan dan 'soft skills' yang bertunjangkan sikap dan nilai-nilai etika yang terpuji, inovatif dengan kemahiran penyelesai masalah untuk kelestarian dan mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang penyelidikan dan pendidikan sepanjang hayat.
Manakala sebelas 'PO' yang diwar-warkan kepada para pelajar pula antara lain adalah menyentuh mengenai keupayaan graduan selaku agen penyelesaian masalah kompleks atau kritikal melalui cara aplikasi ilmu-ilmu metamatik, sains dan ilmu serta prinsip 'asas' kejuruteraan kimia, berupaya menganalisis dan mencerakin kerumitan yang wujud dengan memposisikan kepentingan alam persekitaran, kesihatan dan kondisi masyarakat sejagat sebagai entiti utama.
"Sama ada kita akan mendapat pengiktirafan penuh atau sebaliknya, bukan hanya bergantung kepada inisiatif dan usaha keras berbulan-bulan lamanya yang dijanakan oleh pihak pengurusan-pentadbiran dan tenaga pengajar Pusat Pengajian semata-mata, tetapi penglibatan para pelajar amat-amat diperlukan sebagai agen yang akan memangkin dan mengaktifkan mekanisme 'PO' dan 'PEO' agar dapat memberikan impak positif yang mampu meningkatkan tahap kebolehpercayaan yang menjurus kepada penerimaan pengiktirafan penuh", ujur beliau dengan penuh harapan.
Selain kata-kata perangsang dan pengharapan tinggi daripada Dekan, para pelajar juga turut diberi pendedahan secara terperinci mengenai falsafah, konsep, kepentingan dan senario akreditasi dan modus operandi OBE yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik), Profesor Madya Mohamad Zailani Abu Bakar yang juga merupakan tenaga utama dalam menggerak dan menyiapkan laporan akreditasi atau Self-Assesment Report (SAR) untuk diteliti dan dinilai oleh panel akreditasi.
Apa yang lebih menerjah dan mencerakinkan minda para pelajar adalah sesi di akhir bengkel yang merupakan satu simulasi anjakan paradigma dalam proses pengajaran-pembelajaran berbentuk 'psychomotor' dan interaktif yang dikendalikan oleh Dr. Suhairi Abdul Sata. Melalui skil yang tersendiri, Dr. Suhairi "menanam dan mengupas" kefahaman dan pengertiaan empat 'PEO' dan sebelas 'PO' melalui pendekatan kekuatan minda dan interaktif pelajar semasa sendiri.
Beliau juga turut membuka ruang dan minda pelajar mengenai ciri-ciri graduan yang diinginkan berdasarkan 'survey'yang dijalankan di kalangan majikan dalam pasaran kini, sekumpulan 'jurutera muda/baru dalam pasaran' dan tidak terkecuali ahli-ahli akademik USM sendiri. Apa yang menariknya, para pelajar diminta terlebih dahulu menggariskan ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seseorang graduan sebelum dapatan 'survey' diperbandingkan.
Walau pun cuma sepetang, namun pengisiannya amat menarik, setidak-tidaknya dapat 'mengusik' dan 'menyentap' benak hati para pelajar akan penting dan pertalian erat di antara OBE, akreditasi dan tidak dinafikan juga senario bahawa mereka bakal bergelar graduan bertaraf dunia suatu hari nanti.
Teks: Mokhtar Alfakari Anurbek
Foto: Multimedia PPK Kimia
Walau pun cuma sepetang, namun pengisiannya amat menarik, setidak-tidaknya dapat 'mengusik' dan 'menyentap' benak hati para pelajar akan penting dan pertalian erat di antara OBE, akreditasi dan tidak dinafikan juga senario bahawa mereka bakal bergelar graduan bertaraf dunia suatu hari nanti.
Teks: Mokhtar Alfakari Anurbek
Foto: Multimedia PPK Kimia