Lawatan Makmal Ke Makmal - 30 Staf MRSM Di Makmal PPK Kimia

lawatanstafmrsm2014 09

10 Jun 2014 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM, telah menerima kunjungan seramai 30 staf dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Zon Utara, diketuai oleh Puan Jamilah Sharif yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kesatuan Kebangsaan Kakitangan MARA (KEKAM). Motif rombongan yang terdiri daripada Pembantu Makmal dan Pembantu Am Pejabat, antara lain adalah untuk meninjau dengan lebih dekat dan secara langsung susun atur bahan kimia di makmal, pengurusan sisa kimia, tindakan kecemasan tumpahan kimia dan amalan keselamatan dan kesihatan yang dipraktikkan di PPK Kimia.

Ketibaan rombongan telah disantuni oleh Puan Rosni Mohamad Yusof, Pegawai Latihan Vokasional yang mewakili Dekan Pusat Pengajian. Manakala sesi taklimat bagi memperkenalkan PPK Kimia dan modus operandi makmal-makmal telah disampaikan oleh Pengerusi Rancangan Pengurusan Infrastruktur merangkap Pegawai Keselamatan PPK Kimia, Dr. Tan Soon Huat.

lawatanstafmrsm2014 01

Antara intisari yang dipertegaskan oleh Dr. Tan Soon Huat kepada para pelawat adalah pripentingnya keselamatan makmal diambil berat di samping memahami dengan penuh komitmen akan risikonya jika diabaikan. " Keselamatan di makmal amat perlu dititikberatkan terutamanya semasa mengendalikan bahan kimia dan semua pelajar perlu sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kemalangan berlaku", ujar beliau.

lawatanstafmrsm2014 02

Apa yang menariknya, sepanjang sesi tersebut, pelbagai soalan diajukan dan keterujaan juga turut dirasai apabila hampir semua peserta memperlihatkan kesungguhan dalam mendapatkan sebanyak mungkin maklumat untuk dikongsikan secara bersama. Sesi taklimat tersebut diakhiri dengan tayangan video Pusat Pengajian.
Bagi menyempurnakan lawatan, para pelawat juga telah dibawa melawat beberapa buah makmal di antaranya adalah Makmal Kimia, Makmal Analitis, Makmal Unit Operasi dan Makmal Kawalan Proses. Di setiap makmal yang dilawati mereka bukan sahaja diperjelaskan dengan fungsi setiap makmal malah turut diterangkan dengan panjang lebar mengenai kegunaan peralatan yang sedia ada.

lawatanstafmrsm2014 03

lawatanstafmrsm2014 04

Di Makmal Kimia, stor penyimpanan bahan kimia, mereka telah didedahkan dengan prosedur pengendalian stor bahan kimia, di Makmal Analitis, mereka diberi tunjuk ajar dalam cara penjagaan peralatan yang bernilai tinggi, di Makmal Unit Operasi, mereka diterangkan mengenai penggunaan Alat Lindung Diri (ALD), SOP tindakan jika berlaku sebarang tumpahan kimia dan kaedah perlupusan sisa bahan kimia. Manakala di Makmal Kawalan Proses pula mereka berpeluang melihat secara langsung pengendalian peralatan mahal iaitu Scanning Elenctrone Microscope (SEM).

lawatanstafmrsm2014 05

lawatanstafmrsm2014 06

lawatanstafmrsm2014 07

Kesemua penjelasan dan perincian telah disempurnakan oleh Puan Rosni Mohamad Yusof dengan dibantu oleh Encik Mohd Yusof Ismail, Encik Said Saidin dan staf teknikal yang lain.

Sebelum berlepas pulang, Puan Jamilah Sharif mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada PPK Kimia kerana telah memberi ruang dan peluang kepada mereka menimba ilmu yang amat berguna dan berharap semua peserta dapat mempraktikkannya setelah kembali ke tempat bertugas masing-masing. Beliau juga turut menzahirkan harapan untuk mengadakan kursus keselamatan dengan kerjasama PPK Kimia pada masa yang akan datang.

Acara lawatan di akhiri dengan pertukaran cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan dan sesi bergambar beramai-ramai. Pelawat berlepas pulang pada jam 12.00 tengahari.

lawatanstafmrsm2014 08


Teks : Pn. Rosni Mohamad Yusof

Foto : En. Hisyam Adnan
International COnference on Environment ICENV 2018