Pelajar PPKK Ulangi Kejayaan NRIC Edisi 2014

nric2014-3

Dua pasukan pelajar Tahun Akhir telah menjadi kebanggaan dan mengharumkan nama Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) dalam Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan Novel 2014 (Novel Research and Innovation Competition 2014) yang telah berlangsung pada 19 Ogos sehingga 22 Ogos 2014 di Dewan Utama Pelajar, Universiti Sains Malaysia dengan berjaya meraih pingat Emas, Anugerah Khas "Best NRIC Award" dan pingat Perak. Kejayaan cemerlang tersebut telah mengekalkan momentum dan dominasi pencapaian yang diperolehi oleh pelajar PPK Kimia dalam edisi tahun lalu.

Anugerah Khas "Best NRIC Award"- pingat Emas tersebut, telah dimenangi melalui saudara Leslie Ewe Fang Jun, Vjayan A/L Thrumakunasagran dan Muhammad Zamani bin Zakaria apabila projek mereka yang bertajuk "Natural biodegradable and non-toxic coagulant from g.Hylocereus foliage" telah menambat perhatian juri berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Manakala projek yang telah dizahirkan oleh dua orang pelajar serikandi iaitu saudari Tuan Syahira binti Tuan Zarawi dan Nor Hayati Nordin bertajuk "Thin layer adsorbent for dye removal", juga tidak kurang hebatnya dengan membawa pulang pingat Perak.

nric2014-2

nric2014-4

Suatu yang amat teruja dan membanggakan apabila salah seorang trio pingat Emas, saudara Vjayan turut dinobatkan sebagai Penyampai Terbaik NRIC (Best Presenter). Pencapaian ini mengulangi pencapaian pelajar PPKK tahun lepas.

nric2014-1

Pada edisi 2014, PPKK telah menghantar dua pasukan dalam kategori Kejuruteraan dan Teknologi (Engineering and Technology) daripada beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Sains Asas (Fundamental Science), Kejuruteraan dan Teknologi (Engineering and Technology), Sains Hayat (Life Science), Transformasi Sosial dan Seni Kreatif (Social Transformation and Creative Arts), Sains Kesihatan dan Perubatan (Health and Medical Science), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information Technology and Communication), CORIC (Community Research and Innovation Competition) dan Cabaran Lapangan Innovation (Innovation Pitch Challenge).

Pertandingan yang diurussetiakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar USM tersebut telah menarik sebilangan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta negara. Lebih menarik, beberapa IPT serantau dari Thailand dan Indonesia turut mengambil bahagian.

Pertandingan selama empat hari tersebut telah disempurnakan penutupannya oleh Timbalan Naib Canselor (BJIM), Yang Berbahagia Profesor Dato' See Ching Mey di Dewan Banquet Sunshine, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Kepada saudara Leslie Ewe Fang Jun, Vjayan A/L Thrumakunasagran, Muhammad Zamani bin Zakaria, Tuan Syahira binti Tuan Zarawi dan Nor Hayati Nordin, TAHNIAH, kejayaan anda semua pastinya menyemarakkan lagi 'Kelestarian Hari Esok' mengikut acuan kita- USM.

Penyunting Teks: Mokhtar Alfakari Anurbek
Teks: Dr. Suhairi Abdul Sata
International COnference on Environment ICENV 2018