Skip to main content

PPKK USM Juara Keseluruhan ACS Global Innovation Challenges 2014

Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) USM telah menghantar 3 pasukan bagi menyertai pertandingan Global Innovation Challenges (GIC) peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh American Chemical Society (ACS) bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 8 November 2014. ACS GIC 2014 bertemakan "Pendekatan Lestari bagi Keselamatan Air Global" adalah selari dengan visi USM yang menekankan pembangunan lestari.

Pertandingan yang telah dianjurkan secara bersama dengan Pusat Inovasi Pelajar UTM dan Persatuan Air Malaysia ini telah berjaya menarik penyertaan 34 kertas cadangan dari universiti tempatan dan luar negara. Pasukan USM yang dianggotai oleh Quah Jia Xin, Nur Dina Bt Zaulkiflee dan Chan Chuh Ying muncul sebagai johan dengan cadangan kajian bertajuk "Penggunaan terapi tanah liat untuk mengatasi masalah eutrofikasi di dalam kolam ikan air tawar". Mereka telah menunjukkan kebolehlaksanaan kajian tersebut dari aspek teknologi dan ekonomi melalui persembahan yang mantap serta disokong oleh data analitikal.

Dua buah pasukan PPKK USM yang lain telah mencadangkan projek bertajuk "Hibrid Tanah Liat-Micelle bagi Rawatan Air Basuhan" dan "Penyingkiran Ammonia berbantukan Bakteria Nitrobacter Aerobik-Anoksik" masing-masing telah berjaya mendapat tempat kedua dan saguhati. Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pasukan  PPKK USM! Kesemua pasukan USM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ACS Local Chapter of Malaysia dan rakan penganjur kerana telah berjaya menguruskan acara yang dapat memupuk perkembangan kemahiran insaniah serta mengasah pemikiran kritikal di kalangan peserta.

acs gic 2014
Pasukan PPKK USM menerima hadiah ACS Global Innovation Challenges; (atas) hadiah pertama, (tengah) hadiah kedua dan (bawah) saguhati yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. Dr. Madzlan Aziz dan Pengerusi ACS Local Chapter Malaysia Dr. Lim Jit Kang.