Profesor Abdul Latif Ukir Nama Dalam Anugerah Merdeka

DSC 3167
KUALA LUMPUR, 8 Dis.2014 – Tokoh akademia terkemuka Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Profesor dalam bidang Membran Sains dan Teknologi, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad mengukir kejayaan paling berprestij dan paling manis dalam karier beliau apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Merdeka bagi tahun 2014.

Beliau diiktiraf dalam kategori Outstanding Scholastic Achievement, yang memperlihatkan sumbangan besar dan kepakarannya dalam membangunkan teknologi bagi bidang sains polimer, rawatan air kumbahan dan teknologi pengasingan membran.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah yang juga Penaung Diraja Amanah Anugerah Merdeka berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada kesemua enam penerima di Dewan Filharmonik Petronas, di sini semalam. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

BOB 0803

Abdul Latif ketika ditemui berkata, kejayaan tersebut adalah satu pengiktirafan paling berprestij yang diterima beliau, apatah lagi berada sebaris dengan tokoh terkemuka negara yang telah memberi sumbangan besar kepada negara dalam pelbagai bidang.

''Pengiktirafan negara ini memberi makna yang cukup besar buat saya setelah lebih 20 tahun mengerah usaha ke arah membangunkan bidang penyelidikan yang memberi impak bukan sahaja untuk industri, malah komuniti secara keseluruhannya.

''Anugerah Merdeka juga memberi inspirasi yang tiada tolok bandingnya dan diharap ia turut menyuntik semangat ahli-ahli akademik, penyelidik dan akademia lain untuk terus berusaha keras membangunkan bidang penyelidikan dan pembangunan ilmu,'' ujarnya.

BOB 0736

Beliau turut menzahirkan rasa bertuah kerana USM sentiasa menyokong dan memberi peluang kepadanya dalam segala usahanya untuk membangunkan penyelidikan yang memberi impak, sekaligus menjadi nadi kepada kejayaannya mengukir nama di serata dunia.

Abdul Latif yang dilahirkan di Beranang Selangor pada 4 Januari 1967 sebelum ini turut diiktiraf sebagai salah seorang saintis dunia yang mempunyai minda paling berpengaruh (The World's Most Influential Scientific Minds: 2014), selain pelbagai pengiktirafan lain termasuk individu pertama dari Asia Pasifik yang menerima Saudi Arabia Prince Sultan Bin Abdul Aziz International Prize for Water.

Merdeka Award diperkenalkan pada tahun 2007 melalui inisiatif Petronas, ExxonMobile dan Shell untuk mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia dalam lima kategori dengan setiap mereka menerima sijil, trofi dan wang tunai RM500,000.

BOB 0818

Anugerah ini pertama kali dilancarkan pada 27 Ogos 2007 sempena Jubli Emas kemerdekaan Malaysia ke-50. Panel penilai yang dilantik akan menilai sumbangan individu dan organisasi dalam pelbagai kategori yang bermakna dan mendalam kepada rakyat dan negara Malaysia.

DSC 3057

Selain Abdul Latif, penerima lain bagi tahun 2014 ialah kartunis terkenal, Datuk Mohd. Nor Khalid (Lat) untuk kategori Pendidikan dan Komuniti, Mohd Khan Momin Khan (Alam Sekitar), Datuk Dr. Choo Yuen May (Kesihatan, Sains dan Teknologi), Profesor Dr. Ahmad Fauzi Ismail (Outstanding Scholastic Achievement-penerima bersama) dan Dato' Sri Gathorne, Earl of Cranbrook (Sumbangan kepada rakyat Malaysia). Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa.


Artikel asal : https://www.usm.my/index.php/ms/admin/news-article-bahasa/3414-profesor-abdul-latif-ukir-nama-dalam-anugerah-merdeka


International COnference on Environment ICENV 2018