Acara Walkrobik Dan Sambutan Kemerdekaan - Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016

walkrobik 2015 4

4 September 2015, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia telah ditugaskan untuk mengendalikan acara Walkrobik dan Sambutan Kemerdekaan dalam program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016. Satu jawatankuasa kerja telah dibentuk oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia bagi tujuan ini dengan mendapat kerjasama dari BHEPA, Pejabat Pengarah kampus, Jabatan Pembangunan, Jabatan Keselamatan dan Unit Kesihatan.

Acara yang disertai oleh pelajar tahun 1 dan sebilangan warga staf Kampus Kejuruteraan mengikut Pusat Pengajian ini menggabungkan aktiviti senamrobik dan perarakan mengelilingi Kampus dengan bertemakan ”Sehati Sejiwa” bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 58 yang baru berlalu.

Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia telah mengambil inisitiaf untuk menaikkan semangat kemerdekaan setiap kontigen dengan menyediakan beca, basikal dan kenderaan pacuan 4 roda yang dihiasi dengan deretan bendera negara serta ”sekuntum bunga raya gergasi”. Lagu-lagu berunsur patriotisma telah dipilih untuk dialunkan semasa acara perarakan.

walkrobik 2015 6

Acara gilang gemilang ini berlangsung jam 5.00 petang pada hari Jumaat, 4 September 2015 dan bertempat di Dewan Peperiksaan Baru. Penyertaan terdiri daripada seramai 544 orang pelajar baru dari enam (6) buah Pusat Pengajian dan sebilangan kecil staf akademik serta bukan akademik masing-masing. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Menara Ilmu dan Jalur Gemilang dan dituruti dengan bacaan doa. Pengarah Kampus telah berbesar hati menyampaikan ucapan perasmian ringkas. Program diteruskan dengan senamrobik yang dikendalikan oleh Encik Mohd Noor Fakarruddin Bin Abdullah dari Pusat Pengajian Sains Fizik.

walkrobik 2015 2

Acara senamrobik diikuti dengan dengan Persembahan/Sorakan oleh setiap Kontingen pelajar bertemakan Sehati dan Sejiwa. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri pelajar, kemahiran komunikasi interpersonal, daya kepimpinan serta semangat cintakan Pusat Pengajian khususnya dan Universiti, amnya. Setiap kontijen diberi masa selama satu minit untuk mempersembahkan sorakan bertenaga serta formasi pergerakan yang menarik.

walkrobik 2015 3

walkrobik 2015 7

Kemeriahan program diteruskan dengan acara perarakan kontigen mengelilingi Kampus mengikut laluan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Acara Merdeka Walkrobik ini dimulakan dengan upacara pelepasan oleh Pengarah Kampus. Perarakan didahului oleh kenderaan berhias dan Pengarah Kampus, Dekan-dekan, staf akademik serta bukan akademik Pusat-pusat Pengajian. Kontigen pelajar menyusuli kumpulan ini sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan penuh semangat yang turut disulami dengan sorakan. Perjalanan Merdeka Walkrobik ini telah berjalan lancar dengan kerjasama Jabatan Keselamatan USM yang bertugas mengawal lalulintas bersama pasukan Perubatan dari Pusat Sejahtera.

walkrobik 2015 1

walkrobik 2015 5

Merdeka Walkrobik sejauh 1.9 km diakhiri acara kemuncak iaitu upacara penyampaian hadiah untuk enam kategori yang dinilai sepanjang program dijalankan. Penilaian Kontingen telah dibuat oleh pihak pelajar PPSL dengan Kategori “Perbarisan Terbaik” telah dimenangi oleh PPK Kimia, “Penyertaan Terbaik” dimenangi oleh PPK Elektrik dan Elektronik, “Sorakan Patriotik Terbaik” dimenangi oleh PPK Bahan dan Sumber Mineral, Kontingen Paling Sporting" dimenangi oleh PPK Aeroangkasa, Kontingen “Paling Kreatif” pula dimenangi oleh PPK Awam dan Kontingen “Senamrobik Terbaik” dimenangi oleh PPK Mekanikal dan yang mendapat markah tertinggi ialah PPK Bahan dan Sumber Mineral. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus sambil diiringi oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Awam.

Majlis bersurai pada jam 6.40 petang dengan jamuan ringan kepada VVIP yang disediakan oleh BHEPA.

 

Text : Sekreteriat Jawatankuasa Penganjur / Foto : En. Hisyam Adnan

International COnference on Environment ICENV 2018