Skip to main content

Saintis Iraq Sifatkan Anugerah Satu Kebanggaan Untuk Malaysia

bassim utusan

PULAU PINANG 26 Jan. – Meskipun berasal dari Iraq, namun penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), yang diiktiraf antara salah seorang saintis dengan minda paling berpengaruh di dunia baru-baru ini, beranggapan anugerah itu sebagai kebanggaan kepada negara.

Ini kerana menurut saintis berkenaan, Prof. Dr. Bassim H. Hameed, beliau tidak mungkin diiktiraf dengan gelaran paling berprestij itu sekiranya tidak diberikan peluang mengembangkan kepakarannya di negara ini khususnya di USM.

Dalam masa sama, beliau beranggapan kejayaannya itu juga disumbang oleh kestabilan politik di negara ini sehingga membolehkan beliau belajar dan menetap dengan aman di sini sejak 16 tahun lalu.

“Kejayaan ini juga membuatkan saya mengenangkan nasib saya, sanak-saudara serta masa depan negara yang ketika ini terus bergolak.

“Saya mungkin tidak berpeluang mengecapi apa yang dicapai khususnya dalam bidang penyelidikan kejuruteraan reaktor dan penjerapan sekiranya terus berada di negara saya yang dalam keadaan politik tidak menentu ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Bassim dinamakan sebagai salah seorang daripada tiga saintis di negara ini yang diiktiraf sebagai antara Minda Paling Berpengaruh Di Dunia 2015 oleh Thomson Reuters.

Selain beliau, dua lagi yang berada dalam senarai satu peratus paling terkemuka di dunia itu ialah dua saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud dan Prof. Dr. Siti Khatum Kamarudin.

Menurut Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), daripada sembilan juta saintis di seluruh dunia, seramai 3,000 daripada 21 bidang sains dan sains sosial disenaraikan dalam laporan itu.

Para penyelidik terkemuka itu dipilih melalui hasil analisis terhadap data kutipan bagi tempoh 11 tahun dan pengenalpastian mereka yang menerbitkan paling banyak tulisan yang amat terpuji.

Data kutipan itu diambil daripada pangkalan data kutipan saintifik Thomson Reuters Web of Science.

Pengiktirafan kepada Bassim bagaimanapun lebih membanggakan kerana beliau diiktiraf dengan anugerah itu untuk tahun kedua berturut-turut menjadikan beliau satu-satunya penyelidik di negara ini dengan kejayaan sedemikian.

Malah, beliau juga merupakan satu-satunya saintis daripada USM yang diiktiraf dengan anugerah tersebut.

Kajian Bassim berkenaan kejuruteraan penjerapan iaitu pelekatan molekul atau organisma seni pada permukaan pepejal dan cecair banyak dimanfaatkan dalam bidang tenaga serta alam sekitar.

Dalam pada itu, Bassim mengakui beliau sangat teruja dengan pengiktirafan tersebut apatah lagi selepas menerima ucapan tahniah dan penghargaan daripada rakyat Iraq dari seluruh dunia.

Menurutnya, anugerah itu secara tidak langsung memberi semangat kepada saintis dari Iraq untuk berjaya dalam bidang masing-masing meskipun dalam masa sama terpaksa berdepan ketidaktentuan politik di tanah air sendiri.

 

Sumber asal : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/saintis-iraq-sifatkan-anugerah-satu-kebanggaan-untuk-malaysia-1.183930