Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed Dilantik TNC (JIM) USM - Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan Sambung TNC P&I

Prof. Rahman
USM, PULAU PINANG, 11 Mei 2016 - Top Research Scientist Malaysia (TRSM) dan pakar dalam Reaction Engineering & Catalysis, Pemantauan dan Kawalan Pencemaran Udara (Air Pollution Monitoring and Control), Teknologi Tenaga (Fuel Technology) dan Teknologi Nano (Nanotechnology) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, 52, dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga tahun mulai 1 Mei 2016.

Bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM dan kini Pengarah “Sciences and Arts Innovation Space” atau dikenali sebagaiSains@USM itu menggantikan Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey yang menjadi Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) sejak 1 Februari 2011.

Abdul Rahman mempunyai kelulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Kimia [B.Sc. (Chem. Eng.)] dari University of Southern California, Amerika Syarikat; Sarjana Sains Kejuruteraan Kimia [M.Sc. (Chem. Eng.)] dan Ph.D dalam bidang yang sama dari University of New Hampshire Amerika Syarikat.

Beliau merupakan pensyarah USM sejak 1993 dan pernah menjadi Pengarah Pusat Kolaborasi Industri di samping turut menjadi antara ahli akademik utama yang mengetuai Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan 'Collaborative Research in Engineering, Science and Technology' (CREST), satu usaha yang menggerakkan kolaborasi pelbagai pihak untuk menyediakan ekosistem dan usaha memperkasakan penglibatan akademia dengan industri di negara ini.

Abdul Rahman terkenal sebagai penyelidik dan saintis yang menerima lebih 80 geran antarabangsa bernilai lebih RM18 juta, menghasilkan penerbitan dengan sitasi berimpak tinggi termasuk dalam pengkalan data Scopus (Scopus bibliographic database) dan ratusan kertas penyelidikan dalam pelbagai jurnal akademik terkemuka dunia di samping mempunyai jaringan akademik profesional dari pelbagai negara dunia termasuk di Jepun dan Perancis.

Hal ini juga terbukti apabila beliau merupakan salah seorang daripada tujuh penyelidik dari USM yang menerima anugerah Malaysia’s Rising Star Award sebagai pengiktirafan kerana berjaya menghasilkan artikel yang menerima sitasi penerbitan 1% tertinggi dunia, dengan merujuk kepada pangkalan data Web of Science (WoS) Thomas Reuters dan Incites.

tnc2

Sementara itu, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, 60, disambung perkhidmatannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk tempoh dua tahun lagi bermula 1 Mei 2016. Beliau menyandang jawatan tersebut sejak 1 Februari 2013.

Muhamad memegang ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc. – 1st Class) dari University of Warwick dan Ph.D dari University of Wales, United Kingdom. Selepas menjadi tutor di College of Wales, Aberystwyth pada 1979, beliau kembali ke Malaysia memulakan kerjayanya di USM pada tahun 1982 di Pusat Pengajian Sains Matematik, kemudiannya berpindah ke Pusat Pengajian Pengurusan pada tahun 1990. Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 1993 dan kemudiannya sebagai Profesor pada tahun 2000.

Muhamad dilantik memegang pelbagai jawatan utama di USM, terlibat dalam perancangan-perancangan utama dalam pelbagai jawatankuasa dalam membangunkan USM di samping memberikan khidmat kepakarannya kepada pihak luar termasuk kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, termasuk melalui Jawatankuasa Universiti APEX, Universiti Penyelidikan, Institut Penyelidikan Kerajaan (GRIs), Pusat Kecemerlangan (HiCOEs), Geran FRGS dan “Top Business School”.

Muhamad turut memberikan sumbangan kepakarannya melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Akreditasi Negara, Majlis Profesor Negara dan Jawatankuasa Sistem Penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA 2011).

Muhamad juga terlibat dalam memberikan perundingan kepada pelbagai syarikat dan industri termasuk Motorola, Intel, Solectron, Matsushita dan banyak lagi di samping pertubuhan seperti Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) serta terlibat aktif dalam pertubuhan sukarela seperti Koperasi Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang.

(MOHAMAD BIN ABDULLAH)
Pengarah
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Universiti Sains Malaysia

 

Artikel asal : http://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/3763-profesor-dr-abdul-rahman-mohamed-dilantik-tnc-jim-usm-profesor-dr-muhamad-jantan-sambung-tnc-p-i