Pelajar Baru Disambut Mesra Oleh Warga PPKK

NIBONG TEBAL, 1 September 2016 – Seramai 83 orang pelajar baru program Kejuruteraan Kimia telah hadir seawal jam 8.30 pagi ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) bagi menghadiri Majlis Sambutan Pelajar Baru yang diadakan di Bilik Kuliah (KCK 2), PPKK.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamarudin, dari jumlah tersebut, seramai 35 orang adalah pelajar lelaki dan 48 orang lagi terdiri daripada pelajar perempuan. Malah PPKK turut berbesar hati kerana pada tahun ini dalam kalangan pelajar yang mendaftar terdapat seorang daripadanya merupakan pelajar antarabangsa dari negara Thailand.

psl2016 3

Majlis Sambutan Pelajar Baru bermula pada jam 8.30 pagi dengan para pelajar baru diberikan Taklimat Keselamatan Makmal oleh Profesor Madya Dr. Tan Soon Huat sebelum mereka bergambar kenangan dengan barisan pengurusan PPKK.

psl2016 2

psl2016 1

Tepat jam 9.00 pagi, semua warga PPKK telah mengambil tempat di dalam Bilik Kuliah bagi mengikuti Majlis Sambutan Pelajar Baru peringkat pusat pengajian. Berucap dalam Majlis tersebut, Dekan PPKK telah meminta kepada semua pelajar untuk menyampaikan salam serta ucapan tahniah kepada ibu dan bapa masing-masing kerana telah berjaya melahirkan dan mendidik mereka sehingga ke menara gading.

psl2016 4

Menurut beliau lagi, pelajar-pelajar baru perlu menggunakan peluang yang diberikan ini sebagai satu pencapaian yang perlu dihargai sebaik mungkin kerana masih ramai yang tidak mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti. Malah, peluang untuk mendapatkan pendidikan di sebuah pusat pengajian terbaik dalam kalangan semua pusat pengajian kejuruteraan kimia diseluruh negara adalah patut dibanggakan.

Beliau juga sempat mengingatkan semua pelajar baru agar memastikan fokus mereka kepada pengajian adalah yang paling utama. Elakkan daripada terjebak dalam pelbagai aktiviti yang boleh melalaikan dan letakkan tujuan utama adalah untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan iaitu empat tahun.

psl2016 5

Pada hari yang sama selepas Majlis Sambutan Pelajar Baru turut dilaksanakan adalah Taklimat Program Ijazah Pertama oleh Dekan dan Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohamad Zailani Bin Abu Bakar.

psl2016 6

psl2016 7

Selepas itu, para pelajar turut diminta untuk mendaftar terus kursus-kursus yang perlu diambil untuk semester 1 bagi sidang akademik 2016/2017 dan di bawa untuk melawat makmal-makmal yang terdapat di PPKK.


Text : Hafiz Ali
Photo : Hisyam Adnan

International COnference on Environment ICENV 2018