Atlet Berbasikal USM kekal cemerlang di SUKUM 2018 Universiti Malaysia Pahang

gambar 1

PAHANG, 19 Ogos 2018 – Secara rasminya Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-43, 2018 telah melabuhkan tirainya semalam di Universiti Malaysia Pahang (UMP) setelah berkampung selama seminggu bermula 10 Ogos 2018. Seperti ramalan, pasukan berbasikal USM tidak mengecewakan universiti dengan kejayaan membawa pulang pingat emas dan perak bagi acara Lumba Individu MTB (Lelaki Veteran).


Gambar 2

Penolong Jurutera dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Abdul Halim Che A’ At selaku juara bertahan berjaya mengekalkan pingat emas bagi kategori tersebut dengan catatan masa 1:10:05 dengan jarak laluan sejauh 43km dan pingat perak berjaya dimiliki oleh rakan sepasukan Mohd Kamil Ashar dengan perbezaan masa 0.001 saat.


gambar 3

Mohd Kamil yang ditemui berkata, kejayaan tersebut merupakan kejayaan kedua beliau selepas kejayaan mendapat tempat pertama bagi kategori berkumpulan MTB Veteran tahun lalu dan ia sungguh memberi makna sepanjang berkecimpung dalam arena sukan berbasikal sejak 2011. “Saya akan jadikan pingat perak ini sebagai pembakar semangat kepada saya untuk terus menjulang nama universiti pada masa hadapan dan ia akan menjadi kenangan manis kepada saya khususnya kerana ini merupakan kejayaan individu terbaik saya setakat ini,” katanya. Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih, pengurus, ketua jabatan dan keluarga serta semua yang terlibat dalam memberi sokongan serta dorongan. Tambahnya lagi, “Kejayaan ini bukan milik saya seorang malah ia merupakan kejayaan semua atlet berbasikal USM yang sentiasa memberikan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua atlet”.


gambar 4

Menurut Pengurus Pasukan, Abdul Hafiz Abdul Hamid berkata beliau sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan USM walaupun tidak berjaya mengekalkan kejuaran sebagai pasukan terbaik yang dimenangi selama empat tahun berturut sebelum ini. “Tahniah kepada UNiMAP, atas kejayaan sulung merangkul johan keseluruhan dan berjaya merampas bintang ke-5 kami tahun ini selepas 4 tahun berturut-turut dalam genggaman kami”, katanya. “Bagi rakan sepasukan, ini merupakan penghormatan kepada kita dan ia menjadikan kita sebahagian daripada pasukan yang mempunyai sejarah yang hebat”, tambah Hafiz. Beliau turut menggesa semua atlet agar dapat mengekalkan momentum dan bersedia lebih awal untuk memburu bintang ke-5 pada SUKUM kali ke-44 yang dijadual diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2020 nanti. “Mereka mewakili USM atas semangat sayangkan universiti dan minat yang mendalam dalam sukan ini tanpa memikirkan sebarang ganjaran dan kesanggupan menjalani latihan yang begitu intensif demi mencapai matlamat mengharumkan nama universiti,” tambahnya lagi.


gambar 5

Pada edisi kali ini, USM turut menghantar pasukan dalam acara Lumba Individu VIP RB, Lumba Individu MTB (Lelaki Senior) dan Ujian Masa Berpasukan yang terdiri dalam kalangan staf Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.

Foto Ihsan: Media Kreatif PKK UMT & Abdul Hafiz Abdul Hamid
International COnference on Environment ICENV 2018