Sejarah Kami

Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) di Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditubuhkan pada 1 Mei 1992 semasa Rancangan Malaysia Ke-Enam (1991 – 1995) dengan tujuan melatih dan melahirkan barisan jurutera kimia yang profesional dan kompeten untuk memenuhi keperluan industri proses kimia negara yang sedang pesat membangun.
Program prasiswazah kejuruteraan kimia telah ditawarkan sebagai program pembelajaran tiga tahun antara 1996 sehingga 1999 disebabkan oleh permintaan tinggi pasaran kerja ketika itu walau pun krisis ekonomi dunia melanda pada 1998. Menjelang tahun, 2000, program prasiswazah empat tahun telah diperkenalkan semula untuk memperkukuhkan lagi menjamin kualiti sumber manusia yang bakal menyertai industri kejuruteraan.
Pada bulan Mei 2001, PPKK telah berpindah dari kampus cawangan USM di Tronoh, Perak ke Kampus Kejuruteraan USM yang baharu di Nibong Tebal, kira-kira 50 km dari kampus induk USM di Pulau Pinang.
Sejak penubuhannya, PPKK terus membangun dan kini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden termasuk makmal-makmal untuk bidang-bidang Kawalan Proses, Unit Operasi, Kimia Analitis, Kawalan Pencemaran, Petroleum & Gas selain makmal Komputer dan makmal penyelidikan lain. PPKK pada masa ini turut menawarkan program-program akademik di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dengan pengkhususan dalam bidang-bidang kejuruteraan kimia tertentu seperti bahan-bahan karbon, teknologi pemisahan membrane, sintesis mangkin, rawatan air buangan, dinamik & kawalan proses, penghasilan biobahan api, penjerapan karbon teraktif, teknologi enzim, kejuruteraan kultur tisu & sel dan nanobahan.