PPK Kimia Ungguli Seminar Pengurusan Hal Ehwal Akademik
20 Februari 2012- Seramai 40 peserta yang terdiri daripada Timbalan-timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar), Penolong-penolong Pendaftar dan staf sokongan yang menguruskan hal ehwal akademik dari semua PTJ, Kampus Kejuruteraan telah menghadiri Seminar Pengurusan Hal Ehwal Akademik Peringkat Kampus Kejuruteraan anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dengan kerjasama Unit Latihan, Pejabat Transformasi pada 16-17 Februari 2012 yang lalu bertempat di Bilik Seminar, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.
Seminar pembuka tirai bagi 2012 tersebut diadakan antara lain adalah bertujuan untuk mewujudkan “road map” bagi pentadbir di PTJ selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan staf yang berkredibiliti dalam menyokong dan membantu PTJ mencapai KPI/KIP yang disasarkan pada setiap tahun.
"Tanpa komitmen yang padu daripada staf pentadbiran sudah pasti usaha murni memartabatkan pusat pengajian dan universiti ke arah pengantarabangsaan akan menjadi sukar”, tegas Profesor Azlina Harun @ Kamaruddin, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dalam memulakan ucapan alu-aluannya.
Menurut beliau lagi, “ Dalam hubungan ini, pentadbir di peringkat PTJ perlu dilihat sebagai pakar rujuk dan individu yang berpengetahuan tinggi dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran khususnya pengurusan hal ehwal akademik”.
Atas komitmen dan kesedaran itulah, beliau diakhir ucapannya menyeru semua pentadbir di PTJ agar bukan sahaja dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam hal-ehwal akademik malah sentiasa sensetif serta peka dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan urus tadbir hal ehwal akademik.
Seminar yang julung-julung kali dianjurkan oleh PTJ itu juga turut bermotifkan untuk memperkukuhkan kualiti penyampaian perkhidmatan ke arah menghasilkan pentadbiran dan pengurusan akademik yang berkesan. Melalui seminar ini pegawai pentadbiran berpeluang untuk mendapatkan penerangan terperinci mengenai fungsi dan peranan setiap seksyen yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan akademik universiti yang merangkumi Hal Ehwal Senat, Pengambilan Pelajar, Data dan Rekod Pelajar, Peperiksaan dan Pengijazahan dan Pengurusan/Pelaksanaan Outcome Based Education dan hubungan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi dengan PTJ.
Perasmian seminar telah disempurnakan oleh Puan Noriah Mohamad, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar, yang antara lain menekankan dalam ucapan perasmiannya agar pentadbir di pusat pengajian dapat menguruskan fungsi hal ehwal pentadbiran pusat pengajian dengan cemerlang dan bersedia memikul apa juga tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.
Suatu yang amat menarik dalam pengisian seminar kali ini adalah dengan adanya selitan sesi forum yang bertajuk “Peranan Staf Pentadbiran Dalam Pelaksanaan OBE”. Ahli panelnya terdiri daripada Timbalan-timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) dari tiga Pusat Pengajian iaitu Prof.Madya Mohamad Zailani Abu Bakar (merangkap pengerusi sesi) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Md. Azlin Md. Said dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Prof. Madya. Dr. Rizal Arshad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Nyata, kupasan dan terjahan ahli-ahli panel amat jelas ke atas peranan yang seharusnya dimainkan oleh pegawai pentadbiran dan cabaran dalam menguruskan pelaksanaan OBE di peringkat PTJ.
Di antara pegawai-pegawai lain yang telah menyampaikan taklimat dan ceramah adalah Puan Rohilatifah, Ketua Penolong Pendaftar, Unit Senat, Puan Mazula Sabudin, Timbalan Pendaftar, Seksyen Pengambilan Pelajar, Encik Abdul Hadi Ahmad, Ketua Penolong Pendaftar, Seksyen Peperiksaan dan Pengijazahan, Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff, Ketua Penolong Pendaftar, Seksyen Data dan Rekod Pelajar dan Puan Roshita Shariff, Ketua Pegawai Teknologi Maklumat dari Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi.
Seminar selama dua hari tersebut telah disempurnakan penutupannya dengan acara penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta oleh Prof. Madya Mohamad Zailani Abu Bakar, Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.
Sebelum itu, dalam ucapan penutupannya, beliau telah mengesa agar semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi di dalam membantu PTJ mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Beliau juga berharap agar semua peserta seminar dapat menjadi aset dan tenaga penggerak utama di dalam kemajuan PTJ di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia.
Sumber asal artikel : http://www.eng.usm.my