1000 Pengunjung membanjiri Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM
Nibong Tebal, 16 November 2019, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia menyemarakkan sambutan ulang tahun USM ke-50 dan buat julung kalinya menganjurkan USM Lestari Fun Run dan Hari Terbuka Pusat Pengajian 2019.
USM Lestari Fun Run 2019 dan Hari Terbuka dihadiri oleh 600 peserta larian dan 400 peserta Hari Terbuka yang terdiri dari warga USM dan orang awam sekitar negeri Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
“Larian ini mengambilkira aspek impak sosial dan ekonomi yang diterajui oleh universiti seluruh dunia, berdasarkan 17 inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang merasmikan program ini.
“Program ini mengangkat warna hijau yang sinonim dengan agenda kelestarian alam sekitar, bertemakan Sustainability for Greener Future. Tema ini dipilih bagi menyebarkan kesedaran kepada semua peserta pentingnya perancangan pembangunan yang menitikberatkan aspek kelestarian dan keseimbangan alam sekitar menggunakan pengetahuan dan teknologi kejuruteraan, khususnya kejuruteraan kimia”, kata Pengarah Projek USM Lestari Fun Run 2019, Dr. Azam Taufik Mohd Din.
Selain daripada larian, Hari Terbuka Pusat Pengajian juga turut mengadakan aktiviti yang menarik kepada para pengunjung seperti pertandingan mewarna yang disertai oleh 120 orang dari kalangan pelajar sekolah berumur 6 sehingga 12 tahun. Turut memeriahkan aktiviti yang mendekatkan peserta dengan bidang Kejuruteraan Kimia seperti “Element of Surprise” dan lawatan makmal Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.
Menurut Pengarah Projek Hari Terbuka iaitu Profesor Ts. Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah, “objektif Hari Terbuka ini adalah untuk mendidik, dan memupuk kesedaran semua peserta dan pengunjung sambil berkongsi kepakaran-kepakaran dalam bidang kejuruteraan kimia khususnya”.
Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad berkata, “beliau sangat teruja dan berbesar hati dengan sambutan peserta larian dan pengunjung Hari Terbuka serta mengharapkan program ini akan menjadi acara tahunan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dengan mengambil kira tema-tema yang diketengahkan”.
Hadir sama Encik Muhammad Syafiq Surash Abdullah, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PLUS dan Puan Noor Asmah Hashim, Pengarah Urusan, Alira Sepakat Sdn. Bhd serta pegawai-pegawai utama Universiti Sains Malaysia.
Text by : Mrs. Nur Husna Mansor
Photo by : Mr. Muhammad Taufik Abdul Rahman